Isnin, Oktober 06, 2008


Apa agaknya nak makan pada hari ini, itulah persoalan yang bermain di dalam kepala sehari dua ini, tengok nasi jemu tengok kari jemu tapi perut lapar. Nak pergi kedai beli makanan pun susah juga, kerana banyak kedai masih tutup, mungkin mood raya belum habis lagi. Setiap kali raya itulah masalah yang sering dihadapi, ekoran lambakkan makanan pada hari raya, saya mudah hilang selera selepas itu hingga tidak tahu nak makan apa.

Sewaktu raya baru-baru ini, saya berkesempatan berjumpa dengan seorang kawan lama apabila beliau telah menjemput saya ke rumahnya untuk kenduri rumah baru. Sahabat saya ini taraf pendidikannya hanya peringkat sekolah menengah sahaja. Tetapi beliau seorang yang tekun bekerja, perkerjaannya hanya membuat roti canai, dan sekarang dia mempunyai satu kedai makan sendiri yang diurus oleh beliau dan isterinya.


Agaknya bila saya dapat memiliki rumah sebesar ini

Sejak sekolah menengah dia sudah menebar roti, walaupun pernah sekali dia ke Kuala Lumpur, namun dia mengambil keputusan pulang ke kampung halaman sebab tidak selesa gaya hidup kota. Berkat kesabaran beliau di umur muda beliau sudah berjaya memiliki satu kedai makan sendiri dan sebuah rumah baru berkat hasil jualan roti canai. Bila teringat kisah kawan saya ini, saya teringat Filem Senario yang menjadikan roti canai sebagai jalan ceritanya.

Saya rasa saya pun tak sekaya sahabat saya dalam pemilikan harta, maklumlah makan gaji berapa sangat pendapatannya. Sekadar cukup makan sahaja nak bermewah pun terpaksa berfikir dua tiga kali.Kadang-kadang saya merasakan mentaliti orang kita perlu di ubah tak semestinya orang itu tak berjaya didalam pendidikan orang itu akan gelap masa depannya. Masih banyak cara lain yang boleh diteroka untuk berjaya dalam hidup, janji ingin berubah dan sanggup tekun berusaha.

0 ulasan: