Selasa, September 02, 2008

Islam Tatar Perlu Pembelaan

Oleh ABD. HALIM HADI(Yang Mengikuti Ekspedisi TransEuroAsia baru-baru ini)

“ROGER, kenderaan terakhir sedia bergerak,”' ujar Azman Baharuddin selaku sweeper konvoi Petronas Adventure Team (PAT) melalui set radio amaturnya dan sejurus selepas itu satu demi satu kenderaan bergerak meninggalkan Motel Oson, di pergunungan Kyrgystan.
Ketika menunggu 17 kenderaan pacuan empat roda (4X4) itu memasuki laluan utama, penulis yang berada di tempat duduk belakang kenderaan Azman didatangi pengawal keselamatan motel yang membantu mengawal lalu lintas, di situ.
Pada mulanya, lelaki warga emas itu menuturkan bahasa Rusia tetapi selepas beberapa kali penulis menggelengkan kepala dia berulang kali menyebut perkataan ‘Kurr-An’.
Menggunakan isyarat tangan dia sebenarnya bertanya sekiranya ada sebuah al-Quran yang boleh disedekahkan kepadanya.
Tersentuh hati penulis, kerana pada masa sesuntuk itu memang sukar untuk bertanyakan kepada peserta lain yang membawanya dan jika ada sekalipun pasti sudah ‘tertanam’ bersama isian kargo di dalam bonet kenderaan.
Timbul rasa simpati kerana tidak dapat membantu lelaki berkenaan tetapi tetap kagum melihat keinginannya mendalami isi kandungan kitab suci itu.
Perjalanan diteruskan tetapi peristiwa itu meninggalkan tanda tanya mengenai penghayatan Islam di kalangan penduduk di kawasan tanah tinggi itu.
“Adakah terlalu sukar untuk mendapat senaskhah al-Quran di sini,” detik hati penulis.
Laluan di Lembah Chichkan pada ketinggian lebih 3,500 meter dari paras laut itu menyajikan pemandangan gunung bersalji dan padang rumput seluas mata memandang yang menjadi penempatan penduduk Islam berketurunan Tatar di situ.
Selepas beberapa jam perjalanan, konvoi singgah untuk melihat dengan lebih dekat cara hidup ‘cucu cicit Mongol’ yang tinggal di dalam yurt (khemah bulat) di situ.
Walaupun terpisah jauh dikelilingi pergunungan dan tanpa alat telekomunikasi, mereka nyata faham apabila mendengar perkataan ‘Malaysia’, lantas disusuli dengan pertanyaan, “Kamu seorang Muslim?”
Namun, di sebalik persamaan kepercayaan tauhid yang mengukir senyuman dan keramahan di wajah mereka, timbul perbezaan yang sangat ketara ketika menghampiri mereka.
Pertamanya, konsep hidup bermasyarakat yang diterapkan oleh Islam nyata tidak terlaksana di sini. Ia antara lain kerana kebanyakan mereka tinggal secara bertaburan dan jauh di antara satu khemah dengan yang lain.
Sepanjang perjalanan beratus-ratus kilometer di kawasan itu, konvoi juga tidak pernah melihat masjid atau sekolah yang merupakan institusi terpenting dalam ajaran Islam.
Terfikir juga siapa dan bagaimana mereka memberi pendidikan kepada anak-anak mereka. Di mana pula mereka menunaikan solat Jumaat atau meraikan hari-hari kebesaran Islam.
Daripada apa yang diperhatikan, walaupun perkara asas seperti menutup aurat dan sebahagian tuntutan fikah diamalkan, masih jelas masyarakat Islam di kawasan itu dibelenggu ‘kemunduran’ dan memerlukan perhatian yang sewajarnya.
Peserta PAT, Abdul Rahman Shariff berkata, beliau kagum melihat kesan dakwah Islam yang tersebar sehingga ke kawasan pergunungan itu, tetapi timbul rasa simpati selepas melihat penghayatan Islam yang ‘lompong’ di situ.
“Faktor lokasinya yang terpencil menjadikan kehidupan mereka seolah-olah ‘terputus’ daripada syiar Islam yang sebenar.
“Cuma keimanan dan kepercayaan mereka kepada Allah menjadikan mereka manusia yang lebih mulia,” katanya.
Jajahan Soviet
Itu adalah pengalaman yang menginsafkan penulis semasa melalui Kyrgystan. Sebelum itu, suasana lebih menyedihkan dilihat semasa merentasi tiga lagi negara bekas jajahan Soviet iaitu Kazakhstan, Turkmenistan dan Uzbekistan.
Di negara berkenaan, kesan penjajahan Soviet selama lebih 100 tahun terhadap umat Islam nyata masih belum habis dikikis walaupun sudah lebih sedekad mencapai kemerdekaan.
Khabarnya, keruntuhan Soviet pada 1991 disambut sebagai berita gembira oleh jutaan penduduk Islam di Asia Tengah untuk ‘kembali’ kepada ajaran asal mereka.
Tetapi kongkongan daripada sisa-sisa pemikiran komunis yang sudah lama tertanam di dalam minda pemimpin negara berkenaan masih diselubungi perasaan syak dan curiga kepada Islam.
Tindakan memenjarakan alim ulama dan guru agama serta penempatan semula penduduk Islam dilakukan untuk meminggirkan mereka walaupun mereka tidak mempunyai sebarang kaitan dengan perlakuan keganasan.
Bukan itu sahaja, penutupan masjid dan institusi Islam oleh Soviet semasa Revolusi Bolshevik tetap ‘diteruskan’. Misalnya oleh bekas diktator Turkmenistan, Saparmurat Niyazov yang mengehadkan pembinaan masjid.
Lebih mengelirukan, Presiden bekas ahli birokrat Parti Komunis Soviet itu dengan sengaja menggantikan imam-imam masjid dengan imam yang bukan daripada golongan penduduk setempat hingga menimbulkan keraguan beribadat.
Pada masa sekarang keadaan diburukkan lagi oleh campur tangan Amerika Syarikat (AS) yang terus menyekat kebebasan beragama penduduk Islam dengan mengaitkan agama itu dengan keganasan.
Tekanan itu dari semasa ke semasa menyebabkan tidak banyak badan dan pihak-pihak yang dapat mempertahankan politik, sosial, ekonomi dan budaya masyarakat Islam, keseluruhannya di Asia Tengah.
Di Uzbekistan pula, ‘kekuatan Islam’ yang pada suatu ketika dulu pernah menjadi empayar terhebat di dunia kini hanya tinggal nama.
Warisan keilmuan dan ahli sufi di Bukhara dan Samarkand itu kini tenggelam dan hanya menjadi kebanggaan mereka.
Pemandu syarikat minyak, Akbar Sabirov dari Tashkent berkata, walaupun umat Islam di negaranya adalah majoriti tetapi penghayatan dan amalan Islam masih jauh ketinggalan berbanding di Malaysia.
“Kami di sini menghadapi masalah kekurangan guru-guru agama yang bertauliah untuk mendidik generasi muda mengenai pendidikan Islam.
“Sukatan pelajaran di sekolah sahaja masih belum cukup untuk membimbing mereka,” ujarnya.
Kata Akbar, tidak hairan jika masih ramai umat Islam di situ yang masih mengamalkan cara hidup Barat dan kebanyakan generasi muda pula masih tidak tahu mengerjakan solat manakala sebahagian lagi hanya ke masjid pada hari Jumaat.
Beliau berharap usaha berterusan kerajaannya menghantar pelajar negara itu ke universiti Islam di Timur Tengah, Asia dan memperbanyakkan program keagamaan akan mengembalikan semula kesyumulan Islam.



0 ulasan: