Ahad, September 07, 2008

AKTIVIS WANITA IRAN BANTAH RANG POLIGAMI

TEHERAN: Satu rang undang-undang yang membenarkan lelaki rakyat Iran beristeri lebih daripada satu tanpa kebenaran isteri pertama mencetus kemarahan kaum wanita.
Seorang pegawai kanan kehakiman malah berkata ia akan menjejas hak asasi kaum wanita dan mendakwa ia satu percubaan pemerintah menerapkan tafsiran Syariah yang ketat sebagai undang-undang.
Bantahan terhadap rang itu memaksa Parlimen menangguhkan satu pengundian yang dijadualkan Selasa ini supaya anggota Parlimen dapat membahaskannya dengan lebih lanjut.
Kebanyakan negara di Timur Tengah membenarkan amalan poligami.
Bagaimanapun di Iran, Syria dan Tunisia, seorang suami perlu mendapatkan kebenaran isteri pertama terlebih dahulu sebelum boleh menikahi wanita lain.
Awal minggu ini, berpuluh aktivis wanita, termasuk pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Cik Shirin Ebadi, pergi ke Parlimen untuk membantah rang poligami itu.
'Hakikat bahawa Parlimen menangguhkan pengundian adalah satu kemenangan bagi wanita Iran,' kata aktivis hak asasi wanita, Cik Farzaneh Ebrahimzadeh.
'Tetapi kita mesti berjuang terus. Rang itu mungkin dibentang semula di Parlimen. Kita mesti pastikan fasal yang mengurangkan hak asasi wanita dibuang,' tegas beliau.
Namun Anggota Parlimen (AP) tegar, Cik Fatemeh Alia, berkata beliau dan AP konservatif akan berusaha agar pengundian dijalankan di Parlimen tidak lama lagi.
Beliau menuduh Cik Shirin dan kumpulan sekular ingin melemahkan hukum Syariah dan bersekongkol dengan musuhmusuh Iran. -- AP.

0 ulasan: