Selepas bertahun-tahun mencuba akhirnya Mamat Khalid menang Festival Filem Malaysia melalui filem cereka bertajuk Kala Malam Bulan Mengambang. Kemenangan Mamat Khalid setidak-tidaknya menunjuk arah hala tuju filem Malaysia kini yang masih teraba-raba identiti.
Seorang rakan menegur saya bila saya bercakap mengenai filem, beliau memberitahu filem di Malaysia karut kerana unsur maksiat banyak, dedah sana, dedah sini, tonjol sana dan tonjol sini.
Sewaktu di Universiti pensyarah perfileman pun banyak mengutuk filem Malaysia kata mereka filem tempatan tak berkualiti tiada anjakan paradigma dan memperbodohkan penonton. Manakala kata orang yang sering ke Masjid pula filem Malaysia asyik dok tonjol artis seksi sahaja, dok berkemban dan terbuka sana sini hingga melalaikan penonton.
Mungkin ada benarnya kata-kata yang terpancar daripada mereka ini. Namun soalnya sekarang siapa yang harus membaiki filem kita, adakah kita hanya layak mengata sahaja dan tidak memberi cadangan. Kalau kita kata tidak perlu menerbitkan filem, orang tetap akan mencari juga filem untuk ditonton, nak tak nak kita harus mengeluarkan filem dengan syarat filem itu harus mengikut susur galur budaya kita. Jika tidak remaja kita akan mencari yang lebih teruk lagi iaitu mencari filem-filem barat.
Kadang-kadang saya berfikir susah sangat ke ingin menerbitkan filem yang mempunyai unsur kemanusian seperti filem terbitan Iran atau filem Ayat-ayat Cinta dari Indonesia berbanding kita mengeluarkan filem Puteri Gunung Ledang yang berpuluh juta modalnya.
Tetapi karyawan filem kita agak tabu dengan persoalan agama dan kemanusiaan, ini disebabkan tenaga karyawan filem tidak ramai yang berkebolehan dalam bidang agama. Jesteru itu banyak cerita-cerita drama Malaysia yang berunsurkan kerohanian tidak dapat menarik perhatian khalayak penonton atau boleh dipertikaikan.
Seharusnya isu kebudayaan ini turut sama dititikberatkan perhatian oleh pertubuhan islam di Malaysia kerana kegagalan memeberikan alternatif hiburan kepada orang islam akan menyebabkan agama islam akan dianggap tertutup oleh pandangan umum.
Saya tertarik dengan pandangan penulis dalam Harakah pada minggu ini yang membincangkan isu budaya, dia mencetuskan pemikiran bagaimana agaknya RTM jika PAS memerintah Malaysia adakah hanya ceramah sahaja yang akan disiarkan di TV kerajaan. Tersentak saya seketika bila membaca pandangan tersebut.
Pada hari ini kalau kita tanya orang PAS, ramai yang kata mereka tidak menonton TV kerana dalam TV terlampau banyak hiburan yang melalaikan. Disini timbul persoalan hiburan bagaimana yang diinginkan oleh Islam. Seharusnya PAS menerangkan dan memberi contoh hiburan yang berlandaskan Islam, untuk mengelakkan salah faham masyarakat mengenai Islam. Ini kerana wujud pelbagai pandangan oleh ulama PAS mengenai hiburan, tentu kita masih ingat bagaimana kecohnya suatu masa dahulu apabila ada ulama PAS membantah kunjungan MAwi ke Kelantan, walaupun menteri Besar Kelantan sendiri yang menjemput artis tersebut.
0 ulasan:
Catat Ulasan