Sabtu, Ogos 02, 2008

Populariti Pak Lah Menurun : Merdeka Centre

TINJAUAN DAPATI POPULARITI PAK LAH DI PARAS TERENDAH

KUALA LUMPUR: Populariti Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kini di paras paling rendah, menurut satu tinjauan terbaru.
Lebih separuh atau 54 peratus daripada mereka yang ditinjau oleh firma penyelidikan bebas, Merdeka Centre, berkata mereka tidak puas hati dengan cara Datuk Seri Abdullah mentadbir negara.
Ini berbanding dengan 42 peratus daripada 1,030 responden yang berpuas hati.
Kemerosotan ini sangat ketara jika dibandingkan dengan sekitar 91 peratus yang berpendapat demikian pada 2004 apabila beliau baru memegang jawatan Perdana Menteri.
Tinjauan yang dijalankan dari 4 hingga 14 Julai lalu itu juga menunjukkan hanya 28 peratus daripada pengundi berdaftar yang berpuas hati dengan arah tuju ekonomi dan politik negara itu.
Ini berbanding dengan 68 peratus yang berpuas hati apabila tinjauan sama dijalankan pada lewat Februari.
Pada Jun lalu, Datuk Seri Abdullah mengumumkan kenaikan harga minyak sebanyak 41 peratus.
Ia merupakan satu langkah yang sangat tidak popular di kalangan rakyat setempat.
'Rakyat rasa bimbang dengan isu ekonomi. Mereka juga prihatin perbalahan politik di negara ini tidak akan membantu dalam usaha mencari huraian,' kata pengarah Merdeka Centre, Encik Ibrahim Suffian.
Dalam tinjauan itu, hanya 8 peratus daripada responden yang berkata harga barangan sekarang boleh diterima dan 20 peratus menjangkakan ekonomi negara akan bertambah baik tahun depan.
Sementara itu, dua pertiga daripada responden menyifatkan dakwaan liwat ke atas pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai bermotif politik.
Hanya 11 peratus yang percaya tuduhan itu benar.
Tinjauan itu juga mendapati hanya 31 peratus daripada responden yakin polis akan mengendalikan kes ini dengan adil dan telus. -- AFP, AP.

SUMBER BERITA INI DIPETIK DARI Cyberita

0 ulasan: