Khamis, Mei 01, 2008

TV3 perlu nafas baru


Kenyataan Mufti Perlis yang tidak menyenangi beberapa aktiviti program Jom Heboh terutamanya konsert yang menghimpunkan pelbagai artis sebenarnya telah menyerlahkan lagi kepincangan program anjuran TV3.

Tetapi yang pelik dan ajaibnya kenapa TV3 begitu beria-ia melaksanakan program Jom Heboh walaupun sebelum ini Mufti Perak telah pun mengharamkannya. Adakah TV3 hanya ingin meraih keuntungan sahaja, dengan membiarkan generasi muda Malaysia terumbang-ambng mencari keseronokkan duniawi.

Di mana tanggungjawab sosial stesen swasta pertama negara tersebut. Sebenarnya kalau dilihat pada pengisian oleh stesen tersebut pada hari ini, saya merasakan 10 tahun dahulu lagi bagus, iaitu sewaktu mengunakan slogan Berita Terkini Hiburan Sensasi. Pada masa tersebut banyak program yang mendidik masyarakat disiarkan antaranya rancangan Malaysia Hari Ini, Bincang Petang, National Geographic, Majalah 3, Jejak Rasul dan sebagainya. Manakala rancangan hiburan juga wujud tetapi tidaklah secara berleluasa dan diangkat sebegitu rupa seperti hari ini

Walaupun rancangan yang bercorak ilmiah yang disiarkan TV3 tidak setinggi rating program hiburan tetapi sekurang-kurangnya TV3 ingin mendedahkan ilmu kepada penonton, bukan menyuapkan hiburan semata-mata. Kita tentu masih ingat dengan segmen Jejak Kasih dalam Malaysia Hari ini yang begitu popular pada masa itu tetapi, kemana rancangan seumpama itu selepas TV3 menerima pengurusan baru, di bawah Media Prima Berhad.
TV3 dibawah pengurusan Media Prima seolah-olah berusaha mengangkat setinggi yang mungkin darjat hiburan hingga mengabaikan program bercorak ilmiah. Perkara ini mungkin berlaku mungkin disebabkan faktor tarikan pengiklanan. Tapi sedarkah wahai TV3 anda telah memusnahkan generasi muda Malaysia dengan program sebegitu rupa.
Sepatutnya TV3 memainkan peranan sebagai agen perubahan ke arah yang positif selari dengan hasrat wawasan 2020 yang ingin menjadikan Malaysia negara maju, bukan agen perubahan merosakkan masyarakat.

0 ulasan: