Bila menonton TV1 ari ni rasa lain sikit, sebab dapat tengok sesi perbahasan di Dewan Rakyat. Walaupun hanya 30 minit itu dah cukup untuk mengubati kerinduan nak melihat YB kerajaan dan YB pembangkang bertegang leher he he... Maklumlah bukan senang nak pergi ke tempat macam tu kecuali kita ada tujuan dan keizinan. Saya sebenarnya pernah diberi peluang oleh Boss tempat kerja untuk menjadi pemerhati di Parlimen samada di Dewan Rakyat atau Dewan Negara.
Rasa seronok dan teruja bila dapat pergi dan bertugas di sana kerana kita boleh melihat YB yang dipilih rakyat membentangkan idea masing-masing demi kepentingan rakyat dan negara. Tetapi kadangkala agak menyampah bila hal remeh temeh dibangkitkan oleh sesuatu pihak samada YB pembangkang atau YB kerajaan.
Saya percaya majoriti rakyat Malaysia masih lagi keliru peranan sebenar ahli parlimen, samada Dewan Rakyat atau Dewan Negara. Saya tidak tahu dan hairan kenapa ia boleh berlaku kerana saya berpendapat tugas ahli parlimen sebenarnya adalah menggubal undang-undang.
Tetapi apa yang berlaku hari ini ialah bila kita sebut wakil rakyat, yang terlintas difikiran rakyat Malaysia adalah YB ni adalah pusat kebajikan. Jikalau letrik mati hubungi YB, tanah runtuh pun hubungi YB, anak kucing hilang hubungi YB dan sebagainya. Agaknya bila waktu para YB kita mencari idea dan maklumat data untuk berhujah di Parlimen, kerana sebahagian besar ditumpukan kepada kerja kemasyarakatan. Akhirnya kualiti perbahasan di parlimen adalah lemah dan boleh dipertikaikan.
Saya berpandangan, tugas kemasyarakatan YB. seharusnya dipikul agensi yang dilantik kerana mereka yang berkuasa dan piah berkaitan bukan YB yang melaksanakannya. Contohnya mengenai sampah takkanlah kita kena suruh YB. tu pergi tengok masalah sampah., kenapa tidak diajukan ia kepada majlis perbandaran.
Agaknya sampai bila situasi ini berterusan kerana yang rugi adalah negara kita juga. YB di negara kita juga seringkali didatangi insan-insan yang ingin memungut derma, berapa la sangat gaji YB ni. kalau sorang dah minta seratus kalau 200 orang, tak ke pokai YB kerana ia tak termasuk lagi benda lain yang YB kena tanggung. Akhirnya risiko yang dapat ia memberi peluang kepada YB untuk melakukan pecah amanah atau membuat projek duit demi hendak menampakkan dia bagus kepada rakyat dengan selalu memberi bantuan.
Saya tak faham kenapa ia berlaku , sepatutnya golongan yang meminta ini boleh merujuk kepada syarikat korporat kerana mereka ada peruntukkan, begitu juga dengan pusat zakat dan pejabat kebajikan.
Saya sempat bertanya pada seorang ahli parlimen suatu ketika dahulu. Dia mewakili kawasan di luar bandar di sebuah negeri di Pantai Timur. Dia mengatakan sebahagian besar elaun yang diterimanya terpaksa disedekahkan kepada rakyat kerana tak nak dituduh sebagai sombong kerana orang luar bandar mengangap YB ni kaya. Selain itu dia menjelaskan bahawa dia bernasib baik kerana isterinya adalah seorang usahawan, itupun ada yang terpaksa digunakan semata mata ingin menjaga hati pengundi.
Saya sebenarnya agak loya bila melihat YB terlampau menumpukan aktiviti kemasyarakat dan mengabaikan aspek yang lebih penting iaitu perbahasan di parlimen. Mutu dan perbahasan yang baik di parlimen akan dapat menentukan halatuju negara melalui rang undang-undang yang dilaksanakan. Jika tidak rang undang-undang yang dibentangkan hanyalah rang undang-undang sampah kerana tidak berkesan pada negara.
Saya juga masih teringat sewaktu bertugas di Dewan Negara, tuduhan parti pembangkang yang mengatakan Yb Senator adalah pak angguk adalah amat melampau dari segi tatasusila. Tapi bila kita sebagai orang luar mengikuti sesi perbahasan tersebut, kenyataan tersebut ada benarnya kerana ia tidak bermaya dan menarik untuk diikuti. Memang kita akui peranan Ahli Dewan Negara tidak sama dengan Ahli Dewan Rakyat tetapi seharusnya mutu perbahasan adalah sama apa yang diperbincangkan dengan ahli dewan Rakyat. Jika tidak pemerhati atau petugas yang pergi hanya menghabiskan duit dan tenaga sahaja.
0 ulasan:
Catat Ulasan