Bila meneliti gambar di atas dan gambar yang dipaparkan sebelum ini apa yang dapat kita simpulkan. Tentu pelbagai persepsi dan andaian yang timbul dalam fikiran kita, adakah ia secara kebetulan atau ianya adalah kebenaran situasi politik pada masa kini. Iaitu orang India kini sudah tidak menyokong MIC malah mereka begitu nekad untuk menyokong parti selain dari MIC dan BN seperti DAP dan PKR malah turut menyokong Parti Islam Malaysia dan menjadi calon. Fonomena ini adalah di luar kotak pemikiran para penganalisis.
Bila kita sebut orang India perkara pertama yang akan bermain di fikiran kita ialah Presiden MIC Dato' Seri S. Samy Vellu. Selepas berbelas tahun pilihanraya diadakan di negara kita orang India merupakan pengundi setia parti Barisan Nasional. Tidak pernah berlaku undi kaum india beralih kepada pembangkang dalam mana-mana pilihanraya sebelum ini. Penganalisis politik mengangarkan sekitar 70 peratus pengundi India mengundi parti pembangkang dan ini di akui oleh presiden MIC.
Wakil kaum India yang menang atas tiket pembangkang selama ini seperti Karpal Singh dan M. Kulasegaran pun menang di kawasan yang majoriti orang Cina iaitu Bukit Gelugor dan Ipoh Timur.
Saya tidak pelik dengan politik orang Cina atau pun orang Melayu kerana mereka akan sentiasa berubah mengikut isu dan perkembangan politik semasa. Tetapi orang India tetap setia dengan BN walaupun beberapa krisis politik berlaku dalam negara kita. Lihat pada tahun 1986 bila DAP menang banyak kerusi kerana orang cina menyokong mereka tetapi orang India tetap mengundi BN. Apabila orang Melayu beralih mengundi pembangkang pada 1990 dan 1999, orang India tetap akan mengundi MIC dan BN. Tetapi pada hari ini bila kita sebut sahaja MIC di hadapan orang India. Mereka akan mencebik muka tanda tidak berpuas hati.
Tercetus persoalan di fikiran saya apa isu sebenarnya yang membuatkan orang MIC begitu benci kepada MIC, tentu ada perkara lain selain faktor HINDRAF. Pada saya HINDRAF hanya mengambil kesempatan dari isu yang timbul. Adalah tidak wajar pada saya kita memberikan rating yang tinggi kepada HINDRAF. Sepatutnya adalah wajar pihak yang bertanggungjawab menelusuri permasalahan yang berlaku dalam masyarakat India kerana mereka juga warga Malaysia yang diiktiraf dalam perlembagaan. Tidak sewajarnya masalah orang India diselesaikan hanya oleh pemimpin politik daripada keturunan India sahaja.
Kisah Presiden MIC dan mantan Menteri Kerjaya Raya membuatkan saya teringat gurauan kawan-kawan terhadap beliau. Kononnya dalam satu sidang akhbar selepas majlis perasmian siapnya bangunan yang dikendalikan Jabatan Kerja Raya.
"Kita akan juga membina jambatan yang cantik dekat kawasan ini" tutur bekas menteri itu pada wartawan dengan gaya cakapnya.
"Tapi Dato' Seri, tempat ni tak ada sungai kenapa nak bina Jambatan" tanya seorang wartawan.
"Taraa apa! kita akan kasi bina sungai dibawah jambatan tersebut" balas menteri tersebut kepada wartawan.
Wartawan yang mendengar kenyataan bekas menteri tersebut terus kebingungan.
Saya tak tahu samada guraan itu betul atau tidak, mungkin hanya gurauan semata-mata. Saya meminta maaf kerana saya tidak bermaksud memperlekehkan bekas menteri tersebut cuma agak pelik dengan reputasi beliau sebagai menteri kenapa begitu ramai orang memberi gurauan sinis terhadap beliau.
Sesudah kalah dalam pilihanraya dan beliau tidak mendapat sokongan daripada orang India dan juga daripada kaum lain. Beliau masih mendakwa dirinya sebagai orang yang hebat hingga mengkritik dan menyalahkan orang lain di atas kekalahan beliau. Saya tak mengerti mengapa beliau bersikap demikian.Saya juga tak mahu mengulas sindrom ahli UMNO dan BN menyalahkan antara satu sama lain kerana rakan-rakan tentu dapat membuat penilaian sendiri.
Waktu di sekolah dahulu saya masih ingat sekiranya gagal mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan, guru akan memberitahu jangan salahkan soalan sebaliknya salahkan diri sendiri. Soalan yang datang kita tak dapat jangka tetapi sebagai pelajar guru tentu akan memberi panduan macamana nak jawab soalan dalam peperiksaan. Mungkin kena rajin membaca, mengulangkaji, memberi perhatian dalam kelas, latih tubi dan kemudian meminta doa kepada tuhan.
Saya rasa begitulah juga kepada ahli politik jangan salahkan pengundi kenapa tidak memilih parti A dan kenapa pengundi memilih parti B. Seharusnya ahli politik dalam mana-mana parti menilai diri sendiri adakah mereka layak memegang amanah sebagai pemimpin sebelum dicalonkan sebagai wakil rakyat.
0 ulasan:
Catat Ulasan