Ahad, April 20, 2008

Alex

Pertemuan dengan Mr. Wong juga membawa kepada pertemuan dengan seorang lagi rakan baru yang berbangsa cina biarlah saya kenalkan dengan nama Alex. Dia merupakan seorang Tukang Masak atau lebih glamour dengan panggilan Chef. Sewaktu diperingkat awal mengenali Alex dia merupakan penganut agama Budha namun sekarang agamanya adalah Kristian.

Akibat pertelagahan dengan keluarganya beliau hidup sebatang kara, ini kerana dia tidak ingin mewarisi perniagaan milik ayahnya. Lantaran itu dia mengambil keputusan tinggal bersama rakan sekerjanya.

Namun akibat kes kehilangan duit rakan serumahnya, dia telah dituduh mencuri dan dipukul dengan sebegitu teruk. Walaupun dia menyatakan dia tidak bersalah namun rakan serumahnya tetap menuduh beliau dan akhirnya dia mengambil keputusan melarikan diri kerana takut dipukul.

Sewaktu melarikan diri dalam ketakutan dan kesakitan dia tidak tahu ke mana tempat yang ingin dituju, cuma dia terfikir dalam hatinya tempat yang paling selamat untuk menyelamatkan diri. Dalam samar cahaya di waktu malam dia memberanikan diri masuk ke sebuah surau untuk mencari tempat perlindungan.

Jangkaan Alex memang tepat dia selamat, dan pada pagi keesokan harinya dia telah dikejutkan oleh Iman dan kariah surau tersebut, setelah Alex menceritakan perkara sebenar kepada Imam tersebut dia telah diberi sarapan dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Sewaktu di hospital inilah saya bertemu dengannya melalui Mr. Wong. Pada masa itu Alex amat memerlukan bantuan kerana dia sudah hilang tempat tinggal dan pekerjaan dan dia ingin lari dari Kota Kuala Lumpur kerana takut dengan rakan serumahnya dahulu. Alhamdulilah pada peringkat awal saya berjaya memberi bantuan kepada dia walaupun tidak seberapa.

Sewaktu kami berborak, dia ada menceritakan hendak membalas budi Imam dan kariah surau yang telah membantunya, dan dia ingin berjumpa Imam tersebut. Pada peringkat awal perhubungan kami nyata beliau sudah tertarik dengan akhlak orang islam seperti yang ditonjolkan Imam dan kariah surau tersebut. Pada masa tersebut dia amat kecewa kerana permohonannya untuk mendapatkan bantuan daripada beberapa pihak telah gagal.

Tetapi apa yang saya kesalkan dalam tempoh waktu saya menguruskan pemergian beliau ke Kelantan dan mendapatkan sukarelawan islam untuk membantu beliau. Alex telah dihampiri oleh sukarelawan kristian, dalam tempoh beberapa hari sahaja Alex telah bertukar agama kepada Kristian.

Sewaktu pertemuan lain saya diberitahu oleh Alex dia telah mendapat perlindungan dan bantuan yang baik samada moral dan duit poket dari pihak gereja, dia telah mengucapkan terima kasih segala bantuan yang telah diberikan oleh saya sebelum ini.
Dalam diri saya timbul seribu satu kekesalan sampai saat ini.

0 ulasan: