Isnin, Disember 29, 2008

Tuanku jebon Mendeliar mendapat pembiayaan biayai perang

Perang yang berlanjutan antara raja negeri atas angin al -Jebon Mendeliar dengan rakyat jelata yang menyokong Datuk Bendahara telah menyebabkan Tuanku kehabisan tenaga dan harta untuk berperang. Dikatakan negeri atas angin telah menjadi padang jarak padang tekukur kerana semua rakyat telah lari masuk ke lembah kuning untuk meminta perlindungan atau bersembunyi didalam hutan belantara. Hinggakan pada suatu masa dikatakan Tuanku telah mengarahkan tidak membenarkan negerinya dikunjungi oleh orang lain demi memperkuatkan pertahanan negara. Ini menyebabkan banyak negeri lain tertanya-tanya apa yang berlaku sehingga keputusan tersebut diambil.

Untuk menampung perbelanjaan perang tersebut difahamkan Tuanku Jebon Mendeliar telah berusaha untuk meminjam wang dari pelbagai pihak.Tetapi yang peliknya Tuanku Jebon ini suka meminjam wang emas dengan Puteri Raja berbanding Putera Raja. Dikatakan sudah banyak wang emas dari anak-anak pembesar-pembesar negara yang kaya telah diberikan kepada Tuanku ini.

Adalah dikhabarkan perangai Tuanku ini adalah alim, warak dan boleh dipercayai menyebabkan ramai puteri suka kepadanya. Tetapi yang pelik adalah apabila seorang musuh Tuanku iaitu Sang Aduka berkata, Tuanku ini tidak boleh dipercayai dan tidak layak memimpin negara. Bila ini berlaku maka sepilah satu negeri kerana terkejut dengan kenyataan Sang AdukA tersebut.

Disebabkan pada masa itu tiada Tv dan akhbar, maka kenyataan sang Aduka tersebut hanya diriuhkan sementara sahaja, walaubagaimanapun ia telah menyebabkan ramai rakyat di negeri atas angin mulai curiga dengan pemimpin mereka.

Sedang Jebon Mendeliar sedang berperang ini dengan rakyat jelata, difahamkan Tuanku telah mendapat pembiayaan sebanyak lima juta wang emas daripada Puteri Lindungan Bulan. Dengan janji mengikut adat raja-raja terdahulu Tuanku sepurnama akan datang hutang tersebut akan dijelaskan kepada Puteri Lindungan Bulan.

Mulai saat itu dikatakan Puteri Lindungan Bulan telah menjadi rakan kongsi kepada Tuanku dalam urusan ekonomi negeri di atas angin.
Dan dikatakan juga perang tersebut tidak tahu bila akan habis kerana sikap Tuanku yang sungguh pendendam kepada musuhnya. Namun begitu difahamkan lembah kuning telah beroleh ketenangan selepas itu selepas semakin ramai orang berkunjung ke tempat tersebut. Dan Tuanku Jebon sudah tidak melancarkan serangan lagi ke lembah kuning, ekoran kekurangan sumber kewangan dan tenaga.

Demikianlah kisah penamat ceritera ini, dikhabarkan sejak itu kehidupan negeri atas angin sudah tidak seceria dulu...sehingga memaksa dikerahnya rakyat jelata untuk memeriahkan suasana di ibukota negeri tersebut iaitu Kota Hijau.

Diwaktu sama juga dikhabarkan negeri Lembah kuning telah mengalami pertambahan penduduk yang luar biasa hingga menyebabkan Tuanku Jebon Mendeliar amat cemburu dan marah alkisahnya.
sekian...tamatlah riwayat kisah ini.
(Cerita ini hanya rekaan dan imaginasi penulis sahaja, tiada kaitan dengan mana-mana pihak baik yang hidup atau yang mati. Sekiranya terdapat persamaaan mungkin hanya kebetulan sahaja.)
p/s: Penulis juga ingin memaklumkan artikel ini adalah tulisan terakhir penulis di laman ini. Sesungguhnya penulis ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pembaca yang telah mengikuti laman ini. Permohonan maaf juga dipohon kepada semua rakan-rakan sekiranya terdapat tulisan atau pandangan yang tidak sesuai dibaca.
Sesungguhnya yang baik datang dari Allah dan yang lemah, kurang datang dari penulis .

0 ulasan: