Pada masa lalu bilamana tidak ada alat siaraya, radio mahupun television maka bagi umat Islam " beduk " telah memainkan peranan penting. Beduk dipalu dengan rentak khas bagi menandakan waktu solat sudah tiba.Beduk adalah Gendang satu muka yang berbentuk memanjang iaitu elongated. Peranannya dalam budaya masyarakat Melayu khususnya di Nusantara adalah bersifat non-musical. Malah ianya merupakan sebagai instrument untuk mengesakan perintah Allah s.w.t. Digunakan di surau ataupun masjid di kampung-kampung bagi menandakan masuknya waktu untuk bersolat. Ianya dipukul dengan pemukul kayu dalam pola rithme yang beransur cepat iaitu accelerando
Di sepanjang bulan Ramadhan beduk terlalu penting bagi umat Islam pada zaman dahulu. Beduk juga dipalu bagi menandakan waktu berbuka puasa sudah tiba, malah beduk juga digunakan sebagai alat untuk memberi makluman kepada orang ramai tentang sesuatu hal yang sedang terjadi dalam satu-satu kampung seperti ada kematian ataupun kesusahan yang sedang dihadapi. Pendek kata beduk pada masa lalu adalah sebagai alat pengumuman.
Beduk ini terdapat di Masjid Muhammadi di Kota Bharu.
Bagi masyarakat Islam di Sabah dan Brunei Beduk mempunyai peranan yang sangat penting di surau ataupun masjid. Setiap surau ataupun masjid mesti mempunyai sebuah beduk, kalau di negeri Sabah pada masa lalu sekurang-kurangnya ada sebuah beduk tergantung berhampiran dengan rumah ketua kampung ataupun penghulu kampung.
Ketua Kampung atau lebih dikenali sebagai Orang Tua Kampung (OT) di Sabah menggunakan beduk untuk menyebarkan berita ataupun maklumat kepada penduduk-penduduk kampung berkenaan. Setiap berita ataupun maklumat disampaikan oleh Orang Tua dengan memukul beduk dengan rentak khas sesuai dengan berita yang hendak disampaikan.
Beduk ini dikatakan merupakan beduk tertua di negeri Sabah
Setiap berita ataupun maklumat yang hendak disampaikan mempunyai rentak yang berbedza-bedza. Rentak untuk orang meninggal dunia berbedza dengan rentak untuk menandakan waktu solat dan begitu juga untuk perkara-perkara yang lain adalah berbedza antara satu dengan yang lain.
Bagi masyarakat Islam di Sabah khususnya suku kaum Bajau biasanya kaum lelaki sahaja yang memalu beduk dan kadangkala kanak-kanak tidak dibenarkan memalu beduk kerana memalu beduk juga pada masa lalu mempunyai pantang larangnya. Setiap orang yang hendak memalu beduk hendaklah dimulai dengan ucapan tertentu sebagai memberi salam atau sebagai syarat meminta izin kepada beduk untuk dipalu.
Rendak permulaannya juga mempunyai cara yang khas, tidak dibenarkan memulakan paluan beduk dengan rentak yang tidak sesuai, inilah sebahagian daripada pantang larang yang perlu dipatuhi oleh si pemalu beduk..
Beduk boleh sahaja dipalu oleh seorang hingga tiga orang mengikut rentak yang digunakan. Rentak paluan seorang biasanya dalam rentak perlahan menakala paluan oleh dua hingga tiga orang adalah rentak yang cepat. Biasanya beduk mula dipalu oleh orang dewasa dan dilarang dimulakan oleh kanak-kanak dan paluan penutup juga hendaklah dilakukan oleh orang dewasa, setelah paluan penutup dilakukan beduk tidak boleh lagi dipalu kemudiannya.
Bagaimanapun aktiviti memalu beduk secara berterusan hanya boleh dilakukan pada malam Hari Raya Aidil Fitri dan Aidil Adha, kalau di sepanjang bulan Ramadhan ianya hanya dipalu ketika waktu Maghrib sudah tiba bagi menandakan masa untuk berbuka puasa. Selepas solat Aidil Fitri beduk tidak boleh dipalu lagi kecuali semasa solat fardu sudah tiba.
Beduk juga dipalu sebelum solat Jumaat, orang yang pertama sampai ke masjid atau surau tempat solat hendaklah memalu beduk, kemudian paluan berikutnya oleh orang yang datang kemudian, ianya akan berterusan sehingga solat Jumaat dimulakan. Sekiranya kedengaran sepuluh kali beduk dipalu ini bererti sudah sepuluh jemaah sudah tiba ke masjid. Selepas solat Jumaat beduk akan dipalu sekali sahaja lagi sebagai menandakan solat Jumaat sudah tamat.
Diantara rentak pukulan beduk yang biasa diamalkan oleh masyarakat Islam ialah seperti Tidung Berlari yang berentak perlahan yang biasanya dilakukan oleh seorang pemalu, Tidung Menunggal juga dilakukan oleh seorang pemalu, rentak paluan ini juga dikhususkan untuk solat Jumaat menakala Tidung Melompat atau juga dikenali sebagai Serapat dengan rentak cepat dilakukan oleh lebih dari dua orang pemalu, sementara Pukulan Sungkai digunakan bagi menandakan waktu berbuka puasa sudah tiba, rentak Alu-Alu digunakan bagi orang yang meninggal dunia.
Beduk diperbuat daripada kayu ataupun turas nibung. Kalau di Sabah jenis tumbuhan yang biasa digunakan membuat beduk ialah pokok serdang. Ianya dibuat dengan berbagai-bagai sais dan panjang sehingga 7 kaki. Kulit muka beduk diperbuat daripada kulit kerbau, lembu dan pada masa lalu kulit rusa adalah sangat digemari kerana ia boleh mengeluarkan bunyi yang nyaring.
Membuat beduk memakan masa kira-kira satu (1) hingga dua (2) bulan untuk disiapkan. Mula-mula kayu besar atau pokok serdang yang sudah cukup tua ditebang untuk membuat badan beduk. Bahagian tengah kayu ataupun pokok serdang dikorek dengan meninggalkan bahagian luarnya setebal kira-kira 2 inci. Kulit kerbau, lembu ataupun rusa yang kering direndamkan ke dalam air yang bercampur dengan garam selama satu malam.
Kulit binatang yang sudah lebut akan disematkan dihujung kayu turas yang sedia dipasang dengan gelang rotan yang dikencangkan dengan menggunakan kayu baji. Setelah itu beduk yang sudah dipasangkan kulit binatang itu akan dijemur sehingga kulit binatang yang telah dipasang cukup kencang dan boleh dipalu.
Bulu kulit binatang yang telah dipasang akan dibiarkan begitu sahaja dan ianya akan tanggal apabila aktiviti memalu dilakukan, namun kadangkala bulu kulit binatang tersebut akan dicukur habis setelah proses pengeringan dilakukan.
0 ulasan:
Catat Ulasan