Jumaat, Jun 13, 2008

Oh Bahasaku...

Bila kita menonton Tv sekarang, kita akan ditunjukkan satu iklan yang dibawa oleh New Straits Times untuk menunjukkan betapa pentingnya bahasa Inggeris pada hari ini. Dalam iklan tersebut digambarkan terdapat sekumpulan pelajar sekolah yang nakal mengejek rakannya membaca akhbar berbahasa Inggeris di dalam sebuah bas. Tiba di suatu tempat seorang pelancong asing yang digambarkan hanya pandai berbahasa inggeris muncul dan menaiki bas tersebut lantas bertanya kepada sekumpulan pelajar nakal tersebut dimana " National Monument" di dalam bahasa Inggeris.
Penerbit iklan ini dengan kurang ajarnya telah mengambarkan pelajar nakal tadi tidak faham sepatah apapun pertanyaan pelancong tadi, hingga pelajar tersebut dibodohkan penerbit iklan itu hanya memahami "National Monument" adalah makcik maimun dan terpaksa berinteraksi dalam bahasa Inggeris yang teruk dengan pelancong tersebut.
Kemudian ditonjolkan watak pelajar yang sedang membaca akhbar NST membantu pelancong tersebut, seterusnya ditunjukkan sekumpulan pelajar nakal tadi malu hingga terpaksa menutup muka mereka dengan akhbar.

Saya bukanlah seorang yang terlalu anti bahasa Inggeris tetapi pemaparan iklan tersebut jelas menghina orang Melayu dan kedudukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Tidak adakah cara lain yang lebih baik untuk menggalakkan pelajar sekolah belajar bahasa Inggeris selain cara menghina pelajar Melayu dan bahasa Melayu. Saya tak tahu reaksi masyarakat di Jepun, Thailand atau Indonesia jika iklan tersebut disiarkan di negara mereka menggunakan situasi yang sama.

Sampai saat ini tidak ada suara badan bahasa atau NGO berteraskan Melayu mengkritik iklan tersebut. Dewan Bahasa yang ditugas menjaga dan mengangkat martabat bahasa Melayu pun diam seribu bahasa seolah-olah menyokong iklan tersebut, nampaknya nilai sensitiviti aktivis bahasa sudah tiada kerana ditenggelami masalah kenaikkan harga minyak dipasaran.

Hina sangatkah rakyat Malaysia jika tidak pandai berbahasa Inggeris? kenapa agaknya akhbar Melayu Berita Harian yang juga akhbar milik kumpulan NSTP tidak membuat iklan yang hampir sama tetapi ditujukan kepada pelajar keturunan Cina dan India yang tak reti atau fasih bercakap dalam bahasa Melayu walaupun tinggal di Malaysia ataupun TV9 yang terkenal dengan rancangan Akademi AL-Quran membuat iklan yang hampir sama tetapi ditujukan kepada generasi Melayu yang tidak reti membaca AlQuran . Saya rasa lebih wajar berbanding iklan NST tersebut yang telah memperlekeh orang Melayu dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan terlalu mengagungkan bahasa Inggeris di bumi Malaysia.

0 ulasan: