Isnin, Jun 16, 2008

minyak oh minyak

Hari ini saya sungguh terkejut selepas menikmati makan tengahari di sebuah restoran. Hajat hati nak jimatkan kos makan dengan tidak mengunjungi kedai mamak, kerana restoran mamak ada caj perkhidmatan lima peratus, lantaran itu saya memilih mengunjungi restoran orang Melayu tetapi harganya membuatkan darah saya seakan-akan naik.

Disebabkan minyak naik rupa-rupanya telah dijadikan alasan utama oleh tauke restoran untuk mencekik darah. Bayangkan saya mengambil nasi dengan sayur peria dan berlaukkan ikan kembung goreng kicap harganya adalah RM 7.00 termasuk air 2.50 RM 9.50. Alasan tauke restoran tu semua harga barang naik sekarang ni, nak tak nak saya terpaksa bayar sebab dah makan.


Saya sebenarnya dah pening kepala dengan kenaikkan harga barang dan kos kehidupan ketika ini, dengan pendapatan sekitar RM 3000 saya merasakan nilainya hanya RM1500 kerana kos minyak dah naik sehingga terpaksa memperuntukkan RM 600 sebulan untuk minyak, itu tidak termasuk lagi bayaran lain dan barang dapur serta sewa rumah, agaknya berapalah sangat pendapatan yang tinggal.

Kalau nilai pendapatan saya pun susut sampai sebegitu teruk, saya tidak dapat membayangkan kesengsaraan golongan pekerja kolar biru dan juga orang kampung. Sesungguhnya kenaikkan harga minyak seperti yang diumumkan oleh kerajaan UMNO yang menjadi kesayangan orang Melayu itu telah menyebabkan semakin ramai orang yang miskin dan yang miskin menjadi fakir dan melarat.

Waktu zaman sekolah dahulu harga nasi lemak boleh dibeli semurah 20 sen dan 30 sen, tetapi hari ini dengan nilai sekecil itu mungkin hanya dapat membeli sebiji gula-gula di kedai kerana harga kuih pun harganya dah 40 sen sebiji. Saya tidak tahu adakah ini harga yang perlu dibayar oleh kita sesudah kita menikmati kemajuan prasarana fizikal berbanding satu ketika dahulu. Dahulu walaupun tidak maju berbanding hari ini tetapi saya merasakan susana kehidupan lebih aman kerana tidak perlu membayar tol jika ingin bergerak dan mengalami kesesakkan jalan raya yang teruk jika ingin bergerak.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

wpun aku bukanlah org umno.tp jgn la wat comparison dulu2.nasi lemak 20 sen..zaman tu nilai ringgit cemana..jalan ok ke x?transpot awam cukup ke x?elektrik/air semua masuk kampong ke?

cara nk setel benda ni, govt kena buat gaji minima.ok?jgn compare zmn dulu lg tau.nmpak bangang.