Dalam tempoh setahun dua akan datang Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Fasa 2 yang menghubungkan antara Kuantan dan Kuala Terengganu akan siap dan boleh digunakan. Dengan adanya lebuhraya ini jarak antara Kuala Lumpur dan Terengganu pun akan lebih dekat iaitu dari tujuh jam hingga antara empat ke lima jam sahaja.
Di waktu yang sama kerajaan pusat juga tengah sibuk menaik taraf landasan Lapangan Terbang Sultan Mahmud hingga pesawat sebesar Boeing 747 pun boleh mendarat. Terminal utama pun demikian juga telah dinaik taraf untuk menampung pesawat lebih besar hingga boleh mengendalikan perkhidmatan dalam dan luar negara.
Saya sebenarnya amat menyokong pembinaan terminal baru untuk keselesaan penumpang namun menaik taraf secara besar-besaran saya merasakan adalah tidak wajar sama sekali. Dengan trafik udara yang sedia ada pun agak rendah berbanding Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, saya sebenarnya tidak nampak bagaimana lapangan terbang tersebut boleh beroperasi hingga tahap antarabangsa.
Di tambah lagi dengan projek lebuhraya LPT yang akan siap tidak berapa lama lagi. Adakah kerajaan tidak belajar dari Lapangan Terbang Sultan Ismail di Senai Johor, aliran trafik penerbangan dari kuala Lumpur ke Johor Bahru pun jatuh merudum kerana orang suka pakai kereta dan bas disebabkan jarak dan masa lebih dekat. Sampai ke hari ini penerbangan Mas dan Air Asia pun tidak begitu banyak dari KLIA ke Senai, malah Fire Fly pun telah menggantung sementara operasi antara Subang dan Senai kerana kekurangan penumpang.
Sedangkan Pulau Pinang dan Langkawi pun terkial-kial nak letakkan nama di seluruh dunia inikan pula Kuala Terengganu yang mempunyai penumpang domestik yang tidaklah besar macam kedua lapangan terbang tersebut. Sehingga hari ini pun syarikat penerbangan Mas atau Air Asia tidak pernah mengeluarkan kenyataan untuk mewujudkan destinasi antarabangsa baru di Lapangan Terbang Kuala Terengganu, yang jelas Air Asia lebih berminat dengan Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah di Kuantan untuk dijadikan hubnya di Pantai Timur untuk destinasi antarabangsa ke Singapura dan Jakarta.
Apa yang pasti buat masa ini Lapangan Terbang tersebut hanya layak digunakan untuk penerbangan musim haji sahaja untuk destinasi antarabangsanya, itupun saya percaya jemaah haji dari Kelantan lebih ramai dari negeri Terengganu sendiri, selepas musim haji lapangan terbang tersebut akan senyap dan sunyi. Di tengah ekonomi tak menentu dan kenaikkan harga barang di kala ini, adakah berbaloi menyediakan kos biaya yang tinggi untuk kemudahan yang tak diperlukan berbanding memberi peruntukkan atau bantuan kepada rakyat jelata.
Umum mengetahui untuk mengangkat taraf lapangan terbang untuk dijadikan tahap antarabangsa akan melibatkan pelbagai perkara lain seperti penambahan penempatan sumber manusia dan kemudahan tambahan lain yang akan melibatkan kos yang bukan sedikit. Agaknya yang mana perlu didahulukan oleh kerajaan sedangkan ia bukan keperluan mendesak kepada negeri Terengganu kecuali tujuan politik semata-mata seperti wujudnya Taman Tamadun Islam.
0 ulasan:
Catat Ulasan