Ahad, Jun 22, 2008

Duhai orang Sabah dan Sarawak terimalah seadanya?


Saya sebenarnya sudah agak muak dengan cerita tuntutan orang Sabah dan Sarawak terhadap kerajaan persekutuan supaya kerajaan pusat lebih adil kepada mereka. Saya tidak pelik jika orang Kelantan yang membuat tuntutan, kerana parti yang menguasai negeri itu adalah parti yang berbeza dengan kerajaan persekutuan sudah tentu ada dikriminasi terhadap negeri itu, tetapi tuntutan Sabah dan Sarawak adalah pelik kerana kerajaan negeri dan kerajaan pusat dikuasai parti yang sama iaitu Barisan Nasional. Mengapa perkara itu hendak diperbesarkan sedemikian rupa sehingga wujud tawar menawar dan pelbagai ugutan.


Sarawak dan Sabah bersama Singapura menganggotai persekutuan setelah Suruhanjaya Cobold mendapati majoriti rakyat di negeri tersebut bersetuju menyertai sebuah negara persekutuan. Hasil kemasukkan Sarawak, Sabah dan Singapura dalam gagasan persekutuan baru, nama Malaya telah ditukar menjadi Malaysia.


Selama lebih kurang 46 tahun kedua negeri tersebut berada di Malaysia pelbagai peruntukkan telah dicurahkan kerajaan Pusat kepada negeri tersebut samaada ia dinikmati rakyat itu perkara lain yang pasti peruntukkan tetap diberi kerajaan pusat kepada negeri tersebut, negeri Sabah dan Sarawak bukanlah miskin sangat seperti yang digambarkan kerana kedua negeri ini juga mempunyai beberapa autonomi tersendiri berbanding negeri lain di semenanjung, kedua negeri tersebut sebenarnya amat kaya yang menjadi masalah adalah siapa yang menguruskan kekayaan negeri.


Saya tidak faham mengapa ahli parlimen dan rakyat negeri tersebut begitu marah kepada kerajaan pusat, walhal mereka sendiri yang begitu setia kepada parti Barisan Nasional. Kalau mereka dah tahu Barisan Nasional tidak dapat memberikan apa yang mereka nak pilihlah parti lain untuk menerajui kerajaan negeri. Tetapi kenyataannya kedua negeri itu masih menjadi akaun tetap kepada BN.




Kalau nak tahu kedua negeri tersebut kaya atau tidak pergilah ke bandaraya Kuching, Kota Kinabalu atau Miri, kesemua bandaraya ini memang hebat kalah bandaraya Alor Star, Seremban atau Kuantan. Masalah kemiskinan sebenarnya hanya wujud di tempat terpencil itupun disebabkan tidak diuruskan dengan baik oleh kerajaan negeri pimpinan BN. Manakala kemiskinan di bandar sebenarnya adalah disebabkan kehadiran pendatang asing yang seolah-olah dibenarkan tinggal oleh kerajaan negeri dan pusat. Pendatang inilah yang sebenarnya menambahkan golongan miskin di negeri Sabah.


Pada tahun 1970-an ekonomi Sabah telah menjadikan negeri tersebut negeri kedua terkaya di Malaysia selepas Selangor tetapi apa terjadi hari ini, negeri tersebut merupakan negeri termiskin di Malaysia.


Kadang-kadang saya terfikir alangkah baiknya jika PAS yang memerintah Sabah atau Sarawak kerana negeri Kelantan yang di sekat sedemikian rupa oleh BN pun masih mampu bernafas, apatah lagi menguasai negeri yang kaya dengan sumber alam seperti Sabah dan Sarawak. Tetapi orang Sabah dan Sarawak tetap sayangkan BN, terima sahaja la pemberian BN kenapa perlu kecoh macam ibu kucing kehilangan anak.

0 ulasan: