Jumaat, November 28, 2008

Rahsia Isteri 106 tahun kekal cinta dengan suami muda

HULU TERENGGANU: Selepas tiga tahun berumah tangga, Cik Wook Kundur, 106 tahun, ada rahsia tersendiri untuk memastikan kebahagiaan bersama suaminya, Encik Mohd Nor Musa, 37 tahun, terus berkekalan.
Menurut warga emas itu, beliau mengamalkan beberapa perkara untuk membahagiakan Encik Mohd Nor, yang jauh lebih muda, antaranya sentiasa berfikiran positif, ceria dan mengurut tubuhnya sendiri.
Cik Wook berkata, tiga perkara itu membuatkan dirinya sentiasa muda dan mampu melayani suaminya dengan baik.
'Layan suami ada banyak maknanya. Pertama, layan makan minum dan pakaian. Yang itu, saya buat seperti wanita lain yang bersuami. Saya memasak, membasuh dan buat kerja rumah yang lain.
'Kedua, layan tempat tidurnya. Yang itu tak payahlah cakap dalam-dalam. Faham-faham sendirilah apa maknanya. Biar saya cakap, yang itu pun tak saya abaikan. Berdosa abaikan suami dari segi itu,' katanya ketika ditemui di rumahnya di Kuala Berang kelmarin.
Warga emas itu berkata, beliau tidak akan berkahwin dengan Encik Mohd Noor jika tidak mampu melaksanakan semua perkara berkenaan dan lebih baik tinggal seorang diri sehingga akhir hayat.
'Saya nak cakap kepada orang yang buat fitnah, saya tidak abaikan suami dalam semua hal, kecuali masa demam dan tak larat.
'Memanglah, kita ini bukan sentiasa segar (sihat). Ada masanya sakit demam juga. Kalau kita sakit dan tak dapat layan suami, itu bukan abai namanya, itu di luar kemampuan pada masa itu,' ujar Cik Wook yang mempunyai 20 anak, puluhan cucu dan belasan cicit.
Menurutnya, Encik Mohd Nor adalah suaminya yang ke-22 dan antara yang termuda ketika mereka berkahwin. -- Utusan Malaysia.

0 ulasan: