Orang filem selalu mengolah karya mereka sebagai suatu representasi atau identiti, seperti filem karya Embun dan Perempuan Melayu Terakhir oleh Erma Fatima yang cuba menonjolkankan gambaran sebenar hidup orang Melayu, sementara Datuk Rahim Razali cuba memaparkan gaya hidup orang Melayu korporat ciptaan DEB seperti melalui penghasilan filem Abang, Matinya Seorang Patriot, Puteri dan Abang 92. Sementara U-Wei pula cuba memperkasakan atau menunjukkan perwatakan orang Melayu melalui cerita Perempuan, Isteri dan .... , kaki Bakar dan Jogho.
Yasmin Ahmad pula cuba menonjolkan kehidupan multi-racial di Malaysia melalui filemnya seperti Sepet dan Gubra. Selain itu Razak Mohideen pula telah menerbitkan pelbagai koleksi filem berlatarbelakangkan kehidupan golongan Anak Mami di Pulau Pinang.
Bagaimana pula dengan karya hasil buah tangan Wan Azli Wan Jusoh, sejauh mana budak Kelantan diangkat sebagai karya? adakah ia sekadar ingin menambah koleksi kepelbagaian filem Melayu atau mengangkat pemikiran orang Melayu khususnya Melayu Kelantan.
Tidak banyak sebenarnya filem cuba menonjolkan imej kenegerian atau etnik di Malaysia, mungkin pasaran tidak mengizinkan penerbit menerbitkan filem sebegini. Namun begitu Budak Kelantan berjaya diterbitkan dan ditayangkan di seluruh negara walaupun di Kelantan sendiri tidak mempunyai pawagam untuk membolehkan karya ini ditonton oleh orang Kelantan.
Filem ini berkisar kepada dua watak utama iaitu Buchek (lakonan Dany x factor) dan Jaha(Asrulfaizal Kamaruzaman), kedua sahabat ini mempunyai cara hidup yang sungguh berbeza telah berpisah dan bertemu kembali di Kuala Lumpur.
Buchek digambarkan sebagai lelaki yang berpendidikan tinggi, mempunyai pegangan agama yang kuat dan baik hati, watak putih yang dibawa buchek ini seolah-olah semua kebaikkan ada pada dirinya. Berbeza dengan Jaha yang mempunyai watak hitam atau kontra dengan Buchek, Jaha digambarkan sejahat-jahat manusia apabila ditonjolkan sikapnya yang suka mempermainkan wanita, merogol, meragut dan terlibat dengan perkara-perkara negatif hingga kepada pembunuhan.
Kalau kita terjemahkan ke alam realiti watak Buchek dan Jaha ini memang wujud pada orang Kelantan, kerana mereka boleh berada di mana-mana dengan memegang jawatan tinggi dalam kerajaan, mengetuai syarikat2 besar di Kuala Lumpur, menjadi alim ulama dan bijak pandai agama, guru dan pensyarah serta golongan profesional. Sementara watak Jaha juga turut berada di kalangan orang Kelantan, kerana mereka dianggap suka bergaduh atau gedebe, samseng,suka meragut, pelacur dan sebagainya di Kuala Lumpur atau di bandar lain di Malayia.
Tetapi yang menarik ditonjolkan ialah sifat buchek, walaupun dia mengetahui Jaha itu kawan yang jahat namun beliau sentiasa mepunyai niat yang baik terhadap kawannya hingga ingin membantu mengubah Jaha menjadi seorang yang baik. Begitu juga dengan Jaha yang sentiasa menghormati Buchek walaupun dia tahu dirinya adalah jahat.
Kalau dalam realiti politik adakah kita boleh mengatakan terdapat persamaan watak orang Kelantan di wakili PAS kelantan yang masih sanggup berkawan dengan Ibrahim Ali dan Anwar Ibrahim walaupun kedua tokoh itu dikatakan mempunyai rekod yang buruk sebelum ini. Kerana kita dapat melihat PAS negeri lain seperti tidak selesa dengan kedua tokoh tersebut.
Kebaikkan Buchek kepada Jaha terselah apabila sanggup menyerahkan gadis yang dicintainya iaitu Che Nor (lakonan Bienda) kepada Jaha, walaupun Che Nor sendiri enggan menerima Jaha. Melalui filem ini juga pengarah seolah mengajak penonton supaya memberi peluang kepada orang seperti Jaha untuk berubah dan tidak memingirkan golongan ini.
Walaupun pengakhiran cerita pengarah seakan-akan terikut dengan cerita Melayu lain apabila suka memberi hukuman kepada watak jahat dengan kematian, namum gaya penceritaan yang dibawa dalam filem ini menyebabkan penonton terasa dekat dengan watak di dalam cerita.
Apabila menonton filem ini saya terbayangkan cerita Johny Bikin Filem, sebuah filem Indonesia yang ringkas tetapi mempunyai pengisian yang besar. Syabas diucapkan kepada Wan Azli Wan Jusoh kerana berjaya menerbitkan filem lain dari yang lain dengan mesej tersendiri dan bukan filem murahan.
0 ulasan:
Catat Ulasan